Summary: | Matlamat negara ke arah Wawasan 2020 memerlukan mutu pendidikan dan kemahiran di institusi-institusi latihan dipertingkatkan. Sekolah Menengah Vokasional ialah salah satu institusi yang diberikan amanah melatih pelajar-pelajar di bidang kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja di bidang industri. Tujuan kajian ini ialah meninjau kesesuaian Kursus Penyejukan Dan Penyamanan Udara (Aliran kemahiran/MLVK) di Sekolah Menengah Vokasional terhadap keperluan industri penyejukan dan penyamanan udara di Malaysia masa kini. Kaedah kajian yang digunakan ialah memberi soalselidik kepada bekas pelajar aliran kemahiran Kursus Penyejukan Dan Penyaman udara yang bekerja di industri penyejukan, pelajar aliran kemahiran di Sekolah Menengah Vokasional, guru-guru yang mengajar kursus aliran kemahiran di Sekolah Menengah Vokasional dan majikan industri penyejukan dan penyaman udara. Dari analisis yang dibuat, beberapa cadangan dikemukakan kepada Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan supaya kurikulum latihan kemahiran dipertingkatkan sesuai dengan keperluan industri.
|