Summary: | Untuk memenuhi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), maka di antara penumpuan yang diberikan adalah untuk pembangunan institusi-institusi pengajian tinggi. Ini telah pun diperuntukkan di bawah skim pelajaran dan latihan. Hasil daripada pembangunan yang dijalankan, tanpa disedari ianya telah memberi kesan ke atas kawasan sekitarnya. Kesannya ini meliputi dari berbagai aspek samada fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Berhubung dengan perkara di atas, projek khas (dissertasi) ini telah ditulis untuk melihat sejauhmanakah sesuatu pembangunan institusi pengajian tinggi itu memberi kesan terhadap nilai harta tanah kediaman khususnya. Kajian yang dibuat adalah berdasarkan kepada pembangunan kampus baru UTM Skudai dengan melihat kesannya terhadap nilai harta tanah kediaman di Taman Sri Skudai. Analisis yang dibuat berdasarkan kepada polisi perumahan pelajar dan kakitangan, sebelum dan selepas penghijrahan pada peringkat pertama (1985) dan juga apabila kumpulan C dan D berpindah ke rumah kakitangan rendah di dalam kampus. Dari kajian yang dibuat, menunjukkan bahawa nilai harta tanah kediaman di Taman Sri Skudai telah meningkat dalam tahun 1985 disebabkan adanya pembangunan kampus baru UTM Skudai. Nilai sewa lebih ketara dipengaruhi dibandingkan dengan nilai modal. Ini disebabkan kakitangan UTM lebih ramai menyewa dari membelinya. Oleh itu, apa yang diharapkan daripada kajian ini ialah ianya akan memberi kesedaran kepada pembaca bahawa pembangunan institusi pengajian tinggi boleh menyebabkan perubahan nilai ke atas harta tanah di sekitarnya.
|