Summary: | Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi guru-guru dalam penggunaan media teknologi di sekolah-sekolah. Empat pembolehubah telah dipilih hasil dari rujukan berbagai-bagai laporan kajian di dalam dan luar negeri serta akhbar-akhbar tempatan mengenai guru-guru dan pihak pentadbir sekolah yang memandang negatif terhadap penggunaan media teknologi, terutamanya media elektronik seperti televisyen, perakam video, radio-kaset, projektor unjuran (OHP), slaid, komputer dan sebagainya. Empat pembolehubah yang telah dipilih adalah seperti Inovasi, Teknofobia, Beban Tugas dan Pentadbiran Sekolah. Satu set soalselidik telah diedarkan kepada kumpulan sasaran kajian yang terdiri dari guru-guru di lapan buah sekolah menengah yang dipilih secara rawak dalam Negeri Kedah Darulaman. Hasil dari kajian ini, dua pembolehubah telah didapati berkesan mempengaruhi responden guru iaitu Beban Tugas dan Pentadbiran Sekolah. Kajian ini juga dapat menentukan beberapa hubungkait yang wujud di antara kumpulan-kumpulan responden guru. Maklumat-maklumat ini adalah penting untuk menentukan kejayaan pelaksanaan teknologi pendidikan dalam sistem pendidikan negara ini.
|