Summary: | Penilai menggunakan beberapa kaedah penilaian untuk menganggarkan nilai pasaran hartanah yang berbeza. Di antara kaedah-kaedah penilaian yang terdapat termasuklah Kaedah Perbandingan, Kaedah Pelaburan, Kaedah Keuntungan, Kaedah Nilai Baki dan Kaedah Kos. Seperti yang telah dinyatakan, kaedah kos merupakan salah satu daripada kaedah penilaian yang wujud. Walau bagaimanapun kaedah ini dikatakan sebagai kaedah pilihan terakhir. Walaupun ianya kaedah pilihan terakhir, kaedah ini tetap diterima dan digunakan oleh penilai bagi menganggarkan Nilai Pasaran beberapa jenis hartanah tertentu sahaja. Projek khas ini adalah bertujuan untuk mengkaji penggunaan kaedah kos daripada sudut teori dan sudut praktis. Penulis ingin menerangkan tentang konsep penilaian dan mengapa penilai diperlukan untuk menilai hartanah. Seterusnya penulis menyentuh tentang beberapa kaedah penilaian yang digunakan oleh penilai. Kaedah kos merupakan salah satu daripada kaedah penilaian yang ada. Kaedah kos mengandaikan bahawa kos bersamaan dengan nilai, sedangkan dalam keadaan sebenarnya kos tidak sama dengan nilai. Oleh itu dalam penulisan ini penulis akan menerangkan tentang perbezaan antara konsep kos dan konsep nilai. Konsep kaedah kos serta penggunaan kaedah kos oleh penilai dari sudut praktis akan juga diterangkan dalam penulisan ini. Penulis juga akan menghuraikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penilai semasa menggunakan kaedah kos dalam praktis penilaian. Seterusnya, penulis merumuskan tentang penggunaan kaedah kos dan mencadangkan kajian selanjutnya untuk mencari langkah-langkah penyelesaian bagi masalah yang sedia ada.
|