Summary: | Bandar-bandar di Malaysia semakin pesat membangun tidak kira dari segi ekonomi, fizikal dan sosial. Pusat Bandar Seremban merupakan salah satu contoh pusat bandar yang semakin pesat membangun. Sebagai ibu negeri bagi Negeri Sembilan, ianya merupakan pusat utama bagi kegiatan pentadbiran, perdagangandan sebagainya. Oleh itu ia merupakan pusat tumpuan bagi penduduk-penduduk disekitarnya dan secara tidak langsung timbul berbagai masalah terutamanya masalah lalulintas. Konflik pejalan kaki dengan lalulintas merupakan masalah yang semakin meruncing di Pusat Bandar Seremban. Ini kerana perancangan pusat bandar pada masa ini yang lebih cenderung memberi keutamaan kepada kenderaan berbanding dengan pejalan kaki. Oleh itu adalah penting dijalankan satu kajian untuk mengetahui tahap konflik ini di Pusat Bandar Seremban di samping mengenalpasti punca-punca berlakunya masalah ini dan kesannya kepada pengguna-pengguna bandar. Dalam kajian konflik pejalan kaki dengan lalulintas ini, beberapa aspek kajian telah dijalankan iaitu kajian gunatanah, kajian pejalan kaki dan kajian lalulintas bermotor. Hasil kajian ini menunjukkan di antara beberapa faktor utama berlakunya masalah ini ialah ketidaksesuaian perletakan gunatanah, tiada laluan pejalan kaki dan tarikan aktiviti informal. Kesan yang timbul daripada konflik ini ialah kesesakan dan keselamatan pengguna-pengguna bandar yang kurang terjamin. Seterusnya berdasarkan kajian teoritikal dan analisis tapak, langkah-langkah penyelesaian bagi konflik pejalan kaki dengan lalulintas ini dibentuk untuk dijadikan sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah ini dengan lebih berkesan terutamanya di Pusat Bandar Seremban.
|