Summary: | Selaras dengan pembangunan yang pesat di negara kita, pembangunan ruang pejabat menjadi semakin dominan di Kuala Lumpur. Satu trend dalam pembangunan komersial ini adalah disentralisasi. Adalah didapati pembangunan ruang pejabat mula mengalir keluar daripada pusat bandar ke pusat-pusat pinggir bandar sperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Damansara Heights, Damansara Utama dan Bangsar, yang bertindak sebagai kawasan penerimaan. Dissertasi ini bertujuan untuk mengkaji trend disentralisasi ruang pejabat di Kuala Lumpur. Tumpuan diberi kepada ruang pejabat binaan khas. Kajian adalah ke atas isu-isu seperti jenis penyewa yang terlibat dan faktor-faktor yang menggalakkan atau menyekat trend ini. Hasil kajian adalah berdasarkan data yang diperolehi daripada soal-selidik yang dijalankan ke atas penghuni ruang pejabat di kawasan penerimaan dan pusat bandar Kuala Lumpur. Tambahan pula, satu penerangan kasar mengenai corak pembangunan dan pasaran ruang pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur dan pusat-pusat pinggir bandar ini juga diberi untuk membolehkan pembaca memperolehi satu pemahaman yang lebih baik mengenai trend disentralisasi. Data dianalisa dengan menggunakan teknik-teknik statistik. Hasil kajian menunjukkan pergerakan jarak pendek adalah paling ketara. Firma-firma yang terlibat adalah bersaiz sederhana dan terdiri daripada aktiviti pejabat yang berlainan. Masalah dalam pusat bandar seperti kesesakan lalu-lintas dan masalah kekurangan tempat letak kereta adalah faktor-faktor penggalak yang utama. Hakikat bahawa disentralisasi akan membawa nafas baru kepada epmbangunan sektor ruang pejabat di pusat-pusat penerimaan memang tidak dapat dinafikan.
|