Summary: | Serakan bandar, konflik gunatanah, spekulasi tanah, persaingan penggunaan tanah dan kekurangan penawaran tanah bandar merupakan diantara masalah-masalah yang dihadapi oleh sesebuah bandar yang berkembang. Bandar Alor Gajah yang merupakan pusat sub-wilayah bagi daerah Alor Gajah di Negeri Melaka juga tidak terlepas daripada masalah-masalah tersebut yang berpunca daripada ketiadaan kawalan dan perancangan yang sempurna. Berdasarkan kepada kepentingan fungsi bandar ini sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan utama, potensi serta kemungkinan-kemungkinan pembangunan yang lebih pesat dimasa-masa akan datang maka masalah-masalah yang dihadapinya amat perlu diatasi melalui satu perancangan bandar yang menyeluruh dan berkesan. Tanpa tindakan ini masalah-masalah yang wujud akan berlanjutan mengakibatkan situasi-situasi akan datang bertambah rumit. Penyusunan semula ruang-ruang gunatanah bandar melalui pengabungan gunatanah yang bersesuaian dan pengasingan gunatanah yang berkonflik, menentukan bentuk bandar yang sesuai, menyediakan keperluan ruang yang cukup serta bersesuaian dengan permintaan tanah bandar dan menentukan polisi-polisi dan langkah-langkah kawalan keatas pembangunan adalah diantara usaha-usaha kearah mengatasi masalah-masalah pembangunan bandar Alor Gajah yang berkembang ini. Adalah diharap melalui kajian kawasan pengembangan bandar ini dengan matlamat untuk menyediakan satu pelan yang dapat berfungsi sebagai pelan kawalan pembangunan, perkembangan bandar Alor Gajah dapat diarah dan ditadbir dengan lebih teratur dan effisien.
|