Summary: | Kajian ini bertujuan untuk menentukan sejauh mana pelaksanaan amali yang dijalankan di sekolah menengah vokasional mencapai tahap keberkesanan yang paling optimum. Ini bagi menentukan sama ada pengubahsuaian perlu di buat keatas Buku Kerja Kursus yang digunakan di Sekolah Menengah Vokasional supaya sesuai dengan kehendak industri masa kini. Penelitian kajian juga ialah untuk membuat perbandingan satu sistem pelaksanaan amali antara sekolah Negeri Johor. Disamping itu ia bertujuan mengenalpasti masalah dan cara untuk mengatasinya. Disamping aspek Buku Kerja Kursus kajian ini juga menekankan aspek pengendalian, keselamatan, penilaian, pengurusan dan penyelenggaraan yang patut diamalkan di bengkel. Kaedah kajian yang digunakan, ialah dengan cara soal selidik untuk Guru Sekolah Menengah Vokasional. Jumlah responden yang terlibat dalam kajian ini seramai 144 orang. Data yang diperolehi melalui soal selidik tersebut dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS/PC+. Daripada analisis dan dapatan kajian, didapati secara keseluruhannya guru di kelima-lima buah sekolah menengah vokasional tidak dapat menyiapkan semua projek yang terdapat di dalam buku kerja kursus kerana projek tersebut terlalu banyak. Guru juga kehilangan minat dan jemu menjaga amali kerana beranggapan beban kerja sekarang terlalu banyak. Guru di masa kini tidak hanya mengajar semata-mata tapi terpaksa melakukan kerja-kerja lain termasuk kerja pentadbiran. Guru juga menghadapi masalah dalam pengendalian bengkel, ini termasuklah kemudahan, peralatan, bahan, susun atur bengkel dan masa yang tidak mencukupi. Keselamatan bengkel juga telah dikenalpasti sebagai masalah kepada kelima-lima sekolah menengah vokasional di Negeri Johor. Masalah sektor peralatan, mesin dan kerosakan alat terdapat di sekolah tersebut. Ada juga guru yang tidak bersetuju dengan format penilaian sekarang yang membolehkan guru amali sendiri memberi markah penilaian kerja kursus kepada pelajarnya dan di samping itu terdapat guru yang tidak berpuas hati apabila penyelaras mengubah markah penilai tersebut walau pun penyelaras berhak melakukannya. Masalah pengurusan dan penyelenggaraan juga terdapat di sekolah menengah vokasional. Masalah pesanan bahan, bilangan guru, setor barang, inventori serta sikap, guru yang tidak profesional telah dikenalpasti masih terjadi di sekolah tersebut. Masalah ini mungkin dapat di atasi melalui tindakan yang diambil oleh guru, pengetua dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan menyediakan laporan dan peraturan yang selengkapanya. Laporan dan peraturan perlu meliputi masalah guru semasa melaksanakan kerja amali dan segala masalah tersebut mestilah diselesaikan dengan segera. Kajian lanjutan wajar dibuat dengan memperluaskan lagi aspek yang boleh mempengaruhi pelaksanaan amali. Persepsi pelajar, pengetua dan pihak industri juga perlu diambil kira supaya lepasan sekolah menengah vokasional mempunyai kemahiran yang sesuai dengan perkembangan teknologi terkini sama ada di sektor awam mau pun swasta.
|