Summary: | Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengetahui peranan dan aktiviti Pusat Kegiatan Guru (PKG) dari persepsi penyelaras PKG dalam membantu guru-guru setempat. Pemilihan penyelaras sebagai sampel kajian ini adalah kerana mereka merupakan orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap pergerakan PKG yang dikendalikan. Negeri Johor dipilih sebagai tempat kajian disebabkan penyelidik berada di Negeri Johor serta mudah untuk menghubungi sampel-sampel dan menjimatkan kos kerana kajian ini dibuat melalui pos. Insrumen bagi kajian ini ialah satu set soal-selidik yang terdiri dari 3 bahagian, bahagian A adalah mengenai latarbelakang subjek dan latarbelakang PKG, bahagian B adalah mengenai penyebaran maklumat, kemudahan, aktiviti dan hubungan dengan masyarakat manakala bahagian C ialah kekerapan guru-guru menggunakan PKG dan kekerapan aktiviti-aktiviti. Hasil dari tinjauan ini didapati usaha penyebaran maklumat tentang peranan dan kemudahan PKG kepada guru-guru masih belum memuaskan. Kehadiran guru-guru menggunakan kemudahan dan perkhidmatan PKG masih belum menyeluruh, begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Walau bagaimanapun aktiviti-aktiviti yang dijalankan serta peralatan-peralatan yang disediakan sememangnya dapat membantu guru dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu peralatan-peralatan yang terdapat di PKG masih belum mencukupi, terutama sekali bagi PKG yang tidak mempunyai bangunan sendiri. Untuk mencapai matlamat PKG dalam meningkatkan kualiti pendidikan disekolah-sekolah melalui peningkatan taraf profesionalisme guru-guru, pihak-pihak yang terbabit perlulah berbuat sesuatu untuk merealisasikan matlamat tersebut.
|