Тойм: | Penggunaan media teknologi tidak boleh dipandang ringan oleh para pendidik khususnya yang mengajar matapelajaran sains dan teknikal. Walaupun begitu penggunaannya masih belum meluas dan sangat terhad. Dengan itu kajian ini dijalankan untuk meninjau sama ada masalah penggunaan media teknologi ini wujud atau tidak di sekolah-sekolah menengah daerah Tumpat, Kelantan. Kajian ini telah dijalankan di tujuh buah sekolah daerah Tumpat iaitu Sekolah Menengah Tumpat, Sekolah Menengah Mahmud Mahyiddin, Sekolah Menengah Dato' Biji Wangsa, Sekolah Menengah Geting, Sekolang Menengah Wakaf Bharu, Sekolah Menengah Cabang Empat dan Sekolah Menengah Sungai Pinang. Saiz sampel ialah 35 orang iaitu terdiri daripada guru-guru Kemahiran Hidup. Satu set soalan soal selidik yang mengandungi aspek-aspek tertentu diedarkan kepada responden. Hasil daripada soal selidik ini dianalisis bagi mendapatkan rumusan yang menyeluruh. Dapatan kajian menunjukkan beberapa fakta seperti kemahiran, minat, kemudahan bahan serta beban tugas banyak mendatangkan masalah kepada penggunaan media teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan halangan kepada penggunaan media ini dan usaha tertentu perlu di ambil agar kejayaan perlaksanaan media teknologi dalam sistem pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Pihak sekolah sepatutnya memperlengkapkan media teknologi yang sesuai dan mencukupi untuk bidang Kemahiran Hidup. Di samping itu, beban tugas guru Kemahiran Hidup dikurangkan dan mereka diberikan lebih banyak pendedahan, galakan serta kursus kemahiran bagi meningkatkan penggunaan media teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
|