Summary: | Sukan adalah satu aktiviti yang amat penting dalam proses perkembangan seseorang pelajar dari segi fizikal, mental, emosi, dan sosial. Berdasarkan kepada aspek ini maka kerajaan telah berusaha membawa aktiviti sukan kepada pelajar. Kajian ini bertujuan untuk meninjau perhubungan di antara taraf sosioekonomi keluarga dan pengaruhnya terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan. Ramai pelajar yang berminat dalam sukan tidak terlibat secara aktif dalam kegiatan sukan. Manakala pelajar yang aktif dalam sukan di peringkat sekolah telah meninggalkan bidang sukan apabila dewasa kelak. Maka untuk tujuan kajian ini, penyelidik telah mengemukakan soal selidik kepada responden sebagai instrumen kajian. Responden seramai 60 orang dari dua buah sekolah dari Daerah Johor Bahru Tengah, Skudai, Johor terlibat dalam kajian ini. Kajian ini ditumpukan kepada pengaruh taraf sosioekonomi keluarga di samping beberapa aspek lain seperti minat, kemudahan sukan, galakkan keluarga, pengaruh media massa terhadap penglibatan pelajar dalam sukan. Daripada kajian didapati pengaruh taraf sosioekonomi dan galakkan ibubapa mempunyai pengaruh dalam menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukan terutamanya di sekolah.
|