Summary: | Penyentuh Biologi Berputar (RBC) merupakan salah satu kaedah pengolahan airsasa sekunder secara biologi. Walaupun kaedah ini dianggap baru dan belum meluas penggunaannya di Malaysia, 'RBC' mempunyai potensi yang besar untuk berkembang di negara ini, seperti mana di negara-negara maju. Dalam kajian ini, sebuah model 'RBC' skala makmal telah direkabentuk berdasarkan beberapa pertimbangan yang diambil kira oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Dengan penggunaan model ini, kajian perbandingan terhadap parameter-parameter yang mempengaruhi keberkesanan rawatan airsasa seperti beban pencemaran, masa tahanan dan putaran cakera per minit (r.p.m.) dapat dijalankan. Ujian ke atas sampel airsasa sintetik dilakukan terhadap influen dan efluen model 'RBC' skala makmal ini berdasarkan parameter-parameter COD, BOD5, pH, kandungan pepejal terampai (SS) dan kolifom. Semua analisis berasaskan kaedah Standard Methods (APHA). Hasil dari ujikaji yang dijalankan menunjukkan masa tahanan 2 hari menghasilkan kecekapan yang tertinggi berbanding dengan masa tahanan yang lain iaitu 1.5 dan 1 hari. Manakala bagi perubahan putaran cakera per minit (r.p.m.) pula 4 r.p.m. adalah terbaik daripada 2 dan 3 r.p.m. bagi kecekapan penyingkirannya. Berdasarkan kajian terhadap model 'RBC' ini, dapatlah dirumuskan bahawa alat 'RBC' berupaya menyingkirkan beban pencemar melebihi 90 peratus dalam tempoh masa tahanan yang singkat. Justeru itu ia didapati sesuai digunakan bagi tujuan perawatan airsisa domestik di negara ini.
|