Summary: | Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenalpasti prestasi pelajar Melayu dalam mata pelajaran Sains. Kemerosotan pencapaian mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan SPM 1994 yang lalu amat ketara di kawasan luar bandar sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan ketika itu Dato' Dr. Sulaiman Hj Daud telah mendorong kajian ini dibuat. Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti nilai yang ada pada diri setiap pelajar dan faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi pencapaian mereka dalam mata pelajaran sains. Responden yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu Tingkatan empat Sekolah Menengah Batu Anam, Segamat, Johor. Dapatan dari kajian ini menunjukkan bahawa pencapaian pelajar Melayu Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Batu Anam dalam mata pelajaran Sains 86.6% mendapat gred C dan D. Walaupun peratus kelulusan adalah tinggi, tetapi dari segi kualiti adalah rendah. Ini kemungkinan faktor kekurangan kemudahan yang sedia ada di sekolah, walaupun mereka mempunyai sikap positif terhadap mata pelajaran berkenaan. Adalah diharapkan hasil kajian ini menjadi panduan dan langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk mengatasinya. Walaupun Kementerian Pendidikan memperkenalkan program tambahan berikutan kemerosotan prestasi kelulusan Sains, satu alternatif berkesan perlu dicari untuk menyelesaikannya.
|