Summary: | Dekad ini komputer telah digunakan di dalam semua bidang dalam kehidupan, termasuklah pendidikan dan pengajaran. Kementerian Pendidikan telah mengambil beberapa strategi ke arah memperkenalkan pendidikan komputer ke sekolah-sekolah menengah di Malaysia. Projek perintis bagi strategi pertama telah bermula sejak bulan Ogos 1986. Sungguhpun begitu penggunaan komputer sebagai alat bantuan pengajaran belum begitu meluas digunakan di sekolah-sekolah. Antara perkara yang dirasakan menjadi salah satu punca kepada perkara diatas ialah kerana ketakmampuan guru-guru didalam membuat aturcara untuk membangunkan pakej perisian pendidikan untuk bantuan pengajaran. Kajian ini adalah untuk meneliti dan mencari penyelesaian kepada masalah-masalah mengapa komputer masih belum digunakan secara meluas sebagai alat bantuan pengajaran. Ianya juga merupakan kajian semula dan pembaikan serta penerusan kepada kajian seorang pelajar Sarjana Sains Komputer Institut Sains Komputer sesi 1986/87, yang mana ianya masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki dan diatasi. Perlaksanaan projek ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa peringkat kajian awal yang merangkumi juga kajian terhadap rekabentuk sistem yang telah dibangunkan sebelum ini dan fasa pembangunan sistem. Fasa pertama adalah fasa kajian awal. Sementara fasa kedua pula ialah pembangunan sistem. Dalam fasa pertama, perkara yang ditekankan ialah kajian terhadap keperluan-keperluan dan masalah pengguna dan Kementerian Pendidikan dalam menggunakan komputer sebagai alat bantuan pengajaran. Setelah melihat masalah dan keperluan komputer sebagai alat bantuan pengajaran, ciri-ciri dan kandungan suatu sistem baru yang akan digunakan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi sekarang digariskan. Berdasarkan kepada ciri-ciri dan kandungan sistem yang digariskan dalam fasa 1 maka fasa 2 dilaksanakan. Satu sistem penggubahan yang menggunakan semantik dan sintaksis yang mudah, ringkas dan dalam Bahasa Malaysia dibangunkan. Ia merangkumi 2 sistem utama iaitu penyunting teks dan penterjemah. Tiap-tiap satu sistem ini disokong oleh modul-modul sistem lain termasuklah modul pengelola sumber, penganalisa leksikal, penganalisa sintaksis, penganalisa semantik dan kod pengantaramuka.
|