Summary: | Di Malaysia, kuantiti sisa pepejal akan bertambah seiring dengan peningkatan aktiviti pembangunan. Sehubungan itu, kajian berkenaan sisa pepejal khususnya penggunaan semula sisa pepejal perlu dilaksanakan agar dapat meningkatkan keberkesanan kaedah pengurusan sisa pepejal yang sedia ada. Sehubungan itu, projek yang dijalankan ialah berkaitan pengasingan guna semula sisa pepejal di kampus U.T.M. Ini bertujuan untuk mendapatkan data komposisi bulanan, menilai keberkesanan kaedah pengasingan untuk tujuan guna semula dan menilai kerjasama penglibatan pelajar dalam penggunaan tong sampah yang dilabelkan mengikut komposisi. Pengambilan data telah dilakukan di blok pelajar G 09 (Kampung Pelajar Meranti), K 06 (Kampung Pelajar Cengal) dan Fakulti Kejuteraan Awam. Satu penilaian terhadap keberkesanan kaedah pengasingan dan kerjasama pelajar dapat dihasilkan daripada data tersebut. Di samping itu, analisa lanjutan telah dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan berat, komposisi, kandungan lembapan, ketumpatan dan kandungan tenaga sisa pepejal tersebut. Kesimpulannya, kajian ini berjaya menentukan komposisi sisa pepejal dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan. Keputusan berkenaan kerjasama penglibatan pelajar serta keberkesanan kaedah pengasingan sisa pepejal juga disertakan.
|