Summary: | Jabatan Perumahan Negara (JPN), Wilayah Selatan, Johor merupakan di antara beberapa agensi awam yang diamanahkan oleh kerajaan untuk membekal rumah awam kos rendah. Peranan jabatan ini lebih merupakan sebuah agensi perlaksana iaitu menjalankan kerja-kerja rekabentuk, pengawasan dan penyiapan untuk projek-projek kerajaan negeri. Walau bagaimanapun dalam Rancangan Malaysia Kelima ini, masalah yang dikenalpasti dalam kajian dissertasi ialah JPN tidak dapat membekalkan rumah kos rendah ini tepat pada masanya dan kuantiti rumah seperti yang dirancang. Dengan ertikata lain, JPN tidak dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Melalui kajian ini, penulis telah mengkaji aspek-aspek yang menentukan keberkesanan JPN melalui kos rumah yang ditawar, kualiti atau rekabentuk rumah yang dibina, masa penyiapan projek perumahan kos rendah JPN dan kuantiti rumah yang dibekalkan. Bagi mencapai objektif penulisan dissertasi ini, pembentangan kajian dibahagikan kepada empat bab di mana setiap bab mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Data-data berbentuk statistik dan penyataan mengenai kos, kuantiti dan masa dikumpulkan dan seterusnya dibuat kajian perbandingan perlaksanaan dan pencapaian. Kajian rekabentuk dan kualiti akan ditentukan melalui kajian kes. Seterusnya sistem pengurusan dalam organisasi dikaji dan mengenalpasti masalah yang wujud. Akhirnya cadangan-cadangan dibuat di mana ianya penting untuk menaikkan prestasi JPN dan keberkesanannya dalam membekal rumah awam kos rendah Negeri Johor Darul Takzim.
|