Summary: | Perkembangan sastera moden pada dekad 1980-an merupakan lanjutan daripada polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad oada akhir dekad 1970-an, Karya-karya yang menekankan teras keislaman sebagai tunjang penghasilan karya mereka dijadikan asas penting kepengarangan. Rentetan lain seperti perkembangan ke arah menggunakan teori sendiri dalam mendekati sastera tempatan berdasarkan peradaban Melayu dalam Islam. Buku ini mengandungi 22 buah esei yang ditulis oleh para sarjana berwibawa yang menganalisis karya dan tokoh dalam lima genre penting kesusasteraan iaitu puisi, cerpen, novel, drama dan esei kritikan. Ia merupakan kesinambungan perbincangan sejarah perkembangan kesusasteraan dari tahun 1940 hingga 1969 yang diterbitkan pada tahun 2008 dan 1970 hingga 1979 yang diterbitkan pada tahun 2010."Peta sastera Malaysia menunjukkan pelbagai bentuk hasil karya yang bertujuan mengisi pemikiran masyarakat selaras dengan pembangunan negara yang semakin pesat. Pemikiran tentang pembangunan, kebudayaan dan jati diri menjadi olahan sama ada dalam genre puisi, drama, cerpen, novel serta dalam penulisan dan kritikan. Jika dekad 1970-an mereka banyak terdedah dengan jiwa dan roh kebangsaan, dalam dekad 1980-an pula jiwa dan roh tersebut masih berbaur bersama-sama dengan hasrat merenung hasil daripada pembangunan tersebut.
|