Yhteenveto: | Pembangunan modal insan merupakan salah satu teras dalam Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan bagi meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi serta memupuk minda warga kelas pertama. Institut Pengajian Tinggi (IPT) merupakan saluran utama penjanaan modal insan negara yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis. Kini pelbagai inisiatif dan usaha penambahbaikan secara menyeluruh ke atas sistem penyampaian sistem pendidikan dan latihan, peningkatan kualiti sistem pengajaran dan pembelajaran secara holistik sedang giat dijalankan di peringkat IPT untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing. Usaha kerajaan adalah untuk mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari berkualiti tinggi bagi memenuhi prospek kerja dan keperluan majikan. Kerajaan juga menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat di semua peringkat pendidikan. Inisiatif Hasil Pembelajaran merupakan langkah awal IPT bagi menyediakan pelajar kepada pengalaman pembelajaran dan pendidikan yang lengkap sebelum mereka bergelar graduan bagi menempuh alam pekerjaan. IPT turut berhasrat untuk menjana graduan yang memiliki kemahiran yang komprehensif dan seimbang bukan sahaja dari sudut kualiti kognitif bahkan juga dari segi kemahiran insaniah yang merangkumi pelbagai aspek insani seperti sikap dan akhlak.
|