Summary: | Tan Sri Taib Andak mula mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA) pada Oktober 1958, Beliau adalah rakyat Malaysia pertama dilantik ke jawatan tersebut, Beliau kemudiannya dilantik pula sebagai Pengerusi Malayan Banking Berhad (Maybank) pada Ogos 1969. Beliau berkhidmat ketika sejarah Malaysia berada dalam era di mana negara baru saja mencapai kemerdekaan dan kerana itu, objektif utama kerajaan ialah pembangunan negara. Rancangan Malaysia Kedua yang dalam proses pelancaran telah dimuatkan dengan Dasar Ekonomi Baru bagi tujuan membetulkan ketidak-seimbangan ekonomi dan menghapuskan kemiskinan. Dengan objektif-objektif tersebut, mengemudi FELDA dan Maybank sudah tentu bukanlah suatu pencapaian yang mudah. Tekanan untuk mencapai kejayaan amat besar, tetapi dengan sokongan penuh dari pemimpin-pemimpin utama kerajaan, yang antaranya ialah Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman, serta komitmen pasukan pengurusan dari FELDA dan Maybank, Taib berjaya menghasilkan pencapaian yang cemerlang. Bersama-sama, mereka meletakkan batu asas untuk kedua-dua organisasi tersebut. Hari ini FELDA adalah agensi pembangunan tanah yang paling berjaya di Malaysia. la juga mendapat pengiktirafan di kalangan negara-negara lain yang sedang membangun, terutama di Afrika dan Asia yang menjadikannya sebagai satu contoh baik untuk mengurangkan kemiskinan melalui pembangunan ekonomi luar bandar. Manakala Maybank pula, sekarang merupakan bank terbesar di Malaysia. Taib meninggal dunia dengan tenang pada 19 Ogos 1997. Walaupun beliau hidup menyendiri, jauh daripada pandangan masyarakat buat beberapa tahun, kematian beliau telah membangkitkan kembali kenangan mengenai peranannya dalam FELDA dan Maybank, juga tentang komitmennya yang tidak mengenal penat lelah dan kepentingan diri semasa menjalankan tugas-tugasnya. Taib adalah tergolong dalam era kehidupan rakyat Malaysia yang merentangi tiga zaman dalam sejarah tanah air - zaman penjajahan dibawah British, zaman penjajahan Jepun, dan tahun-tahun selepas kemerdekaan, semasa negara mula diperintah oleh kerajaan sendiri dan sedang membangun.
|