Sumario: | Kumpulan Puisi Fragmen Lestari adalah gabungan fragmen yang merakamkan perspektif peribadi terhadap pelbagai peristiwa dan tatacara, pengharapan dan pemikiran, khususnya yang dilatari pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi global. Sebahagian besar puisi ini dirakamkan secara harian dalam tempoh 17 bulan, bermula April 2021 hingga Ogos 2022. Walaupun telah lebih dua tahun pandemik COVID-19 menular ketika puisi-puisi ini mula digubah, namun banyak peristiwa besar berlaku secara berkesinambungan ketika seluruh dunia bergelut menangani virus yang cepat merebak dan membiak. Kumpulan puisi ini adalah gema jiwa yang terserlah untuk menyuarakan fragmen cemas dan harap, fragmen suka dan duka, fragmen ilmu dan pengalaman. Persis sebagaimana kandungan puisi fragmen: "Kita adalah pemburu yang mencari,dan mengumpul fragmen kecil berserakan". Kita mencari apa sahaja ilmu pengetahuan, pengalaman, pengajaran, pemahaman, penghayatan dan pengukuhan menerusi setiap peristiwa yang berlaku, tanpa mengira yang baik atau buruk, yang besar atau kecil. "Kita mencari fragmen, berharga untuk diatur, disusun kemudian dicantumkan, dari kebiruan langit, gunung tinggi, sungai menghilir, siulan mergastua dan gelagat manusia".
|