Summary: | Gubir yang terletak di negeri Kedah adalah salah satu kawasan paling panas bagi pasukan keselamatan dalam memerangi pengganas komunis sekitar tahun 70-an dahulu. Ramai anggota tentera yang terkorban atau cedera ketika bertempur dengan pengganas komunis atau terkena jerangkap samar yang dipasang oleh mereka. Tanggal 26 April 1976 pula mencatat sejarah hitam apabila sebuah helikopter Nuri TUDM ditembak jatuh oleh pengganas komunis sehingga mengorbankan 11 nyawa perwira negara. Di sini juga terletaknya Kem Gubir yang menempatkan Markas Taktikal Angkatan Tentera Malaysia. Selain itu, kedudukan Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir yang jauh di pedalaman dan berada di kawasan tanah tinggi turut menjadi loaksi kem terbesar pengganas komunis. Seramai 60 anggota komando daripada X Skuadron, Rejimen Gerak Khas ditugaskan untuk menggempur kira-kira 400 pengganas komunis di hutan itu. Namun, kewujudan 3600 jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis di hutan itu membahayakan pergerakan mereka. Lantas kepakaran anggota Rejimen Jurutera atau dikenali sebagai sappers diperlukan bagi mengesan dan mematikan jerangkap samar itu. Misteri di hutan Gubir juga kian terbongkar dengan penemuan terowong rahsia yang menjadi laluan pengganas komunis melarikan diri selama ini.
|