Summary: | Sebelum adanya panggung wayang moden dan televisyen seperti hari ini, lebih awal lagi masyarakat kita didedahkan dengan persembahan wayang kulit yang merupakan salah satu warisan negara. Dalanglah yang akan menggerakkan patung-patung wayang kulitnya di balik layar sambil bercerita kepada khalayak penonton. Begitu juga para seniman seni rupa pada hari ini, sama-sama bercerita dengan menggunakan gaya mereka tersendiri melalui lukisan, arca, instalasi dan multimedia. Pelbagai cerita disampaikan, daripada kisah asal seperti Hikayat Seri Rama dan Pandawa Lima, yang diadaptasi daripada epik Hindu sehinggalah cerita-cerita lain yang berkembang dengan suntikan cerita semasa. Pameran GERAK BAYANG: Seni Penceritaan berkisarkan wayang kulit daripada rupa bentuk dan ciri-ciri tradisional sehinggalah watak-wataknya dizahirkan di atas kanvas selain senimannya ada yang bercerita menggunakan kaedah media baharu. Seramai lebih daripada 35 orang seniman seperti Nik Zainal Abidin, Long Thien Shih, Ismail Mat Hussin, Masnoor Ramli Mahmud, Adeputra, Haris Abadi dan Ismail Awi dikumpulkan dalam pameran ini untuk kita nikmati dan amati serta memaknai ‘suara’ mereka yang secara tidak langsung memberi kesedaran dalam memastikan kelestarian para Dalang dan seni persembahan wayang kulit.
|