总结: | Perkembangan keatas pelaburan hartanah perniagaan adalah merupakan satu aspek yang penting didalam pembangunan sesebuah negara, yang maju mahupun yang sedang membangun. Pelaburan-pelaburan ini adalah berbentuk kedai, rumahkedai, komplek-komplek perniagaan, pejabat, hotel dan sebagainya lagi. Bagi dissertasi ini, penulis hanya akan mengkaji hartanah perniagaan jenis kedai, rumahkedai dan komplek perniagaan sahaja. Matlamat kajian ini ialah untuk mengkaji akan keadaan perkembangan pembangunan pelaburan hartanah berkenaan di pusat bandar Seremban yang mana kini sedang mengalami pembangunan semula yang pesat. Ini adalah selaras dengan matlamat Dasar ekonomi Baru yang bertujuan untuk memberi penekanan keatas bandar yang berpotensi untuk dibangunkan. Selain dari itu, dasar-dasar dan peruntukan yang dinyatakan di dalam Rancangan Malaysia Kedua dan Rancangan Malaysia Ketiga juga telah mengubah keadaan pelaburan awam dimana ia seterusnya memberi kesan keatas pelaburan hartanah oleh sektor swasta. Didalam kajian ini, penulis akan menumpukan sepenuhnya keatas yang berkaitan dengan aspek yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaburan hartanah perniagaan yang mana semuanya adalah berdasarkan kepada data-data dan maklumat-maklumat yang diperolehi. Ini seperti apa yang didapati didalam Bab 2, 3 dan 4. Didalam Bab 2, penumpuan dibuat keatas aspek pelaburan hartanah perniagaan itu sendiri bersama penerangan akan jenis-jenis pelaburan dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Didalam Bab 3 pula, kajian adalah mengenai perkembangan pelaburan hartanah perniagaan di kawasan kajian dimana penekanan diberikan keatas pemabangunan sektor dan struktur hartanah di kawasan kajian. Disamping itu, bab ini juga menerangkan akan cadangan-cadangan dan masalah yang timbul bagi aktiviti pemabngunan pelaburan di kawasan kajian. Kesan-kesan dari perkembangan pembangunan pelaburan hartanah perniagaan pula diterangkan didalam Bab 4. Ini termasuklah kesan-kesan keatas pasaran hartanah, kesan keatas gunatanah, kesan keatas ekonomi dan juga kesan keatas struktur dan arah perkembangan Bandar Seremban. Akhir sekali, penulis akan membuat kesimpulan dari keseluruhan kajian bagi menetukan matlamat dan objektif kajian ini.
|