Summary: | Selaras dengan usaha untuk mencapai objektif Wawasan 2020 dan DPN, sektor perindustrian telah digariskan sebagai sektor yang paling utama pembangunan negara. Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai pembangunan yang pesat dalam sektor perindustrian, tetapi tidak dapat menjanakan pembangunan yang seimbang di antara daerah-daerahnya. Salah satu daerah yang mundur adalah Daerah Pontian. Adalah diketahui umum bahawa strategi penyelerakan industri merupakan satu strategi yang boleh meningkatkan pembangunan di kawasan mundur, tetapi persoalan yang lebih penting ialah sama ada kawasan mundur akan mendapat faedah pembangunan industri yang berkekalan (sustained). Oleh itu ini telah menjadi titik tolak kajian yang dilakukan ini. Kajian yang telah dilakukan adalah tentang perilaku perletakan industri serta taburan industri di samping kesan pembangunan yang meliputi kesan ekonomi dan alam sekitar. hasil kajian perilaku perletakan industri menunjukkan bahawa terdapat beberapafaktor utama yang mempengaruhi perletakan industri di daerah pontian iaitu kedapatan tenaga buruh, nilai tanah rendah (untuk industri foot-loose' dan kedapatan bahan mentah (untuk industri berasaskan sumber). Masalah yang terdapat pada faktor-faktor berkenaan seperti kekurangan tenaga buruh serta kekurangan bahan mentah telah menyebabkan struktur industri daerah Pontian perlu disusun semula, untuk mengujudkan pembangunan yang berkekalan. Kajian kesan ekonomi telah menunjukkan tahap pertalian ekonomi yang dijanakan oleh industri tempatan adalah kurang disebabkan oleh kekurangan teknologi tempatan untuk menyokong industri elektroniks berskala besar serta untuk meningkatkan jenis industri hiliran kepada industri berasaskan sumber tempatan. Pertalian ekonomi tempatan perlu ditingkatkan contohnya melalui peningkatan teknologi serta kemahiran pekerjanya sekiranya pembangunan ekonomi berkekalan ingin dicapai. Untuk mencapai pembangunan ekonomi berkekalan, satuaspek yang juga perlu dipentingkan adalah industri saiz kecil dan sederhana memandangkan majoriti jenis industri ini adalah milikan tempatan dan ianya harus ditingkatkan untuk menghasilkan pengusaha tempatan yang berjaya. Kajian taburan industri serta kesan alam sekitar telah menunjukkan bahawa strategi perancangan reruang di Daerah Pontian perlu mengambikira tujuan untuk meningkatkan pembangunan dipusat petempatan kecil serta menjaga kepentingan alam sekitar di kawasan bandar serta kawasan petempatan manusia
|