Summary: | Negara bangsa ialah sebuah kerajaan atau negara yang
mendokong sistem politik, perundangan, adat, nilai hidup dan
budaya berevolusi daripada unsur jati diri bangsa asal yang
tidak bercanggah dengan prinsip kedaulatan seperti terpasak
dalam perlembagaan negaranya. Negara bangsa Malaysia
sejahtera membawa hasrat untuk membina keharmonian
rakyat dan kemakmuran Malaysia berteraskan asimilasi
bahasa Melayu dan akomodasi elemen watan melalui
kelestarian adat budaya Persekutuan Tanah Melayu, Sabah
dan Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Asimilasi merupakan satu proses adaptasi individu
dan masyarakat kepada nilai dan amalan baharu agar sesuai
dengan situasi dan budaya hidup tempatan. Proses tersebut
mendorong seseorang untuk mengutamakan nilai dan
amalan baharu itu mengatasi kecenderungan peribadinya
supaya persekitaran yang sudah ada lebih harmonis dan
melestarikan identiti budaya tempatan untuk mencerminkan
nilai sejagat.
|