Summary: | Kertas ini akan membincangkan fenomena pemberian nama kepada makanan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu. Pemberian nama atau penamaan adalah satu proses yang sangat penting kerana kita dapat mengenal sesuatu kerana “sesuatu” tersebut mempunyai “identiti” atau tanda pengenal. Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai jenis makanan yang mempunyai nama-nama yang aneh dan bertentangan dengan sifat serta peranannya. Daripada perspektif linguistik kognitif, fenomena penamaan tersebut boleh dianalisis dan dikenalpasti melalui ketegangan semantik (semantic tension) antara (kata) sesuatu yang dinamakan dengan (kata) sesuatu yang menjadi rujukan. Hal ini demikian kerana telah berlaku proses pemindahan makna, peranan dan bentuk kata bagi memastikan maksud yang dikehendakinya dapat difahami, ditafsir dan dihayati oleh khalayaknya. Bagi mendapatkan gambaran mengenai fenomena dan proses yang berlaku, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bagi mengumpul dan menganalisis data. Daripada analisis yang dilakukan, terdapat pelbagai rujukan yang digunakan oleh penutur untuk menamakan makanan tersebut seperti nama binatang, perbuatan, orang dan sebagainya. Hal ini dapat dikaitkan dengan pengaruh persekitaran kerana penutur didapati menggunakan sumber terdekat dengannya sebagai rujukan utama untuk memperihalkan sesuatu. Selain itu, hal ini juga menunjukkan bahawa proses penggunaan bahasa (penamaan makanan) oleh komuniti bahasa (orang Melayu) sangat berkaitan dengan latar budaya mereka, yang seterusnya menjadi identiti mereka.
|