Summary: | Nabi Muhammad SAW diutuskan adalah untuk memperbaiki akhlak manusia. Akhlak adalah cerminan sesebuah negara. Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang menjunjung nilai-nilai murni dan akhlak mulia. Persoalannya, adakah umat Islam hari ini benar-benar menghayati nilai-nilai akhlak yang ada dalam Islam yang boleh dicontohi oleh penganut agama lain? Adakah kemerosotan akhlak umat Islam hari ini berpunca daripada kejahilan mereka terhadap amalan agama mereka? Kajian ini cuba mengemukakan penyelesaian terhadap kemerosotan akhlak ummah menurut Said Nursi khususnya dalam tafsir Risalah al-Nur. Kajian ini adalah berbentuk kepustakaan dan akan dianalisis menggunakan kerangka analisis tekstual. Kajian ini mendapati penyelesaian terhadap kerosakan akhlak menurut Said Nursi ialah dengan memahami hakikat kejadian manusia, menghayati kepentingan Asma’ al-Husna serta memanfaatkan ilmu pengetahuan. Hal ini terbukti apabila Said Nursi dan tafsir Risalah al-Nur berjaya mempengaruhi pembentukan akhlak umat Islam di Turki pada masa itu serta membentuk gagasan pemikiran Islam yang lebih tulin, setelah beberapa abad diresapi faham Sekularisme di bawah kemimpinan Presiden Mustafa kamal al-Tarturk.
|