Summary: | Pentadbiran sesebuah organisasi yang cemerlang adalah bergantung kepada pemimpin
yang mempraktikkan keseluruhan atau salah satu domain dalam kepimpinan autentik.
Pemimpin yang tidak menitikberatkan ciri-ciri kepimpinan tersebut boleh mempengaruhi
prestasi kerja dalam kalangan pekerjanya sekali gus memberi impak terhadap kualiti dan
kemajuan organisasi tersebut. Kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji domaindomain
kepimpinan autentik Ketua Jabatan di Politeknik terhadap prestasi kerja
pensyarah. Responden kajian terdiri daripada 259 orang pensyarah di tiga buah
politeknik di Malaysia iaitu Politeknik Kota Kinabalu, Sabah, Politeknik Sultan Haji
Ahmad Shah, Pahang dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah.
Responden telah dipilih secara rawak mudah. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah
tinjauan secara kuantitatif yang menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian.
Data dianalisis menggunakan SPSS yang melibatkan peratus, skor min, sisihan piawai
dan pengujian hipotesis korelasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Ketua
Jabatan di Politeknik mengamalkan keempat-empat domain kepimpinan autentik iaitu
kesedaran diri (self awareness) (min = 3.95, sp = 0.491), proses keadilan (unbiased
processing) (min = 4.01, sp = 0.520), tingkah laku autentik (authentic behavior/ action)
(min = 4.03, sp = 0.511) dan perhubungan keaslian (relational authenticity) (min = 4.06,
sp = 0.525) dalam mentadbir jabatan di Politeknik. Prestasi kerja pensyarah di bawah
kepimpinan Ketua Jabatan secara keseluruhannya berada di tahap sederhana. Hasil dapatan
ini juga menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan di antara prestasi kerja pensyarah
dengan keempat-empat domain kepimpinan autentik yang diamalkan oleh Ketua Jabatan di
Politeknik iaitu kesedaran diri (self awareness) (r = 0.467), proses keadilan (unbiased
processing) (r = 0.469), tingkah laku autentik (authentic behavior/ action) (r = 0.466)
dan perhubungan keaslian (relational authenticity) (r =0.485) . Secara kesimpulannya,
Ketua Jabatan di Politeknik mengamalkan domain-domain kepimpinan autentik dalam
mengurus jabatan.
|