Summary: | Media massa mempunyai pelbagai peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah Negara. Pembangunan ini tidak boleh dilihat dari aspek pembangunan fizikal semata-mata tetapi
pembangunan modal insan harus juga dilihat sebagai satu agenda penting negara untuk menjamin kemajuan sesebuah negara dalam pelbagai aspek termasuk di dalam bidang sains,
teknologi dan keusahawanan. Hasrat untuk melahirkan dan membangunkan modal insan berhadapan dengan cabaran budaya hedonisme dan budaya popular terutamanya di kalangan
remaja yang dibawa oleh media massa. Kesan dan pengaruh media massa terhadap khalayak telah lama hangat diperkatakan dan dibincangkan oleh para ilmuan dan ulama. Fenomena penjajahan budaya yang disebut sebagai ‘cultural imperialisme’ sangat ketara diamalkan oleh golongan remaja menerusi cara pergaulan, pakaian, hiburan dan aktiviti seharian. Peranan media massa yang utama sebagai sumber maklumat telah disalahgunakan untuk mendapatkan hiburan semata-mata. Penyelidikan ini bertujuan meninjau peranan media massa dalam usaha pembangunan modal insan, di samping menganalisa tahap penggunaan media di kalangan remaja. Dapatan daripada kajian ini diharap dapat membantu pengamal media dalam merangka kandungan media yang sesuai untuk pembangunan umat sejagat.
|