Sammanfattning: | cIzz al-Din Abu al-Hasan cAli Ibn Muhammad al-Jazari atau dikenali sebagai Ibn al-Athir al-Jazari merupakan sejarawan Islam berbangsa Arab keturunan Bani Shayban (Tulaymat 1969: 13) yang berasal dari Jazirah Ibn cUmar. Gelaran al-Athir diberikan kerana kelebihan yang dimilikinya iaitu berkebolehan dalam bidang sejarah dan pada masa sama dikenali kerana menghasilkan karya al-Kamil fi al-tarikh (Mahayudin 1986: 460). Keistimewaan tersebut dibuktikan dengan terhasilnya beberapa karya sejarah seperti Usd al-ghabah fi macrifat al-sahabah, al-Lubab fi tadhzib al-ansab dan al-Tarikh al-bahir fi al-dawlah al-atabikiyyah. Namun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana tentang genre karya beliau. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menilai genre historiografi Ibn al-Athir. Kajian ini keseluruhannya, mengaplikasi analisis dokumen dan teks dengan merujuk kata pengantar karya-karya Ibn al-Athir iaitu al-Kamil, Usd al-ghabah, al-Lubab dan al-Tarikh al-bahir. Perbincangan mendapati Ibn al-Athir memulakan fokus penulisan kepada genre sirah sahabat dahulu dan diikuti bidang genealogi, kemudian sejarah universal dan kontemporari.
|