Summary: | Ergonomik ialah aplikasi sains biologi manusia berkaitan dengn sains kejuruteraan di antara pekerja dengan persekitarannya. Ergonomik di Malaysia telah lama diperkenalkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) iaitu pada 1 Disember 1992. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan ergonomik yang dimiliki oleh kakitangan sokongan Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dan kesedaran untuk mengamalkan ergonomik di tempat kerja. Kaedah yang digunakan adalah berbentuk penyelidikan deskriptif iaitu menggunakan borang soal selidik dan diedarkan kepada 60 orang kakitangan sokongan yang bekerja di makmal, bengkel dan dapur Kampus Permatang Pauh UiTMCPP. Data dianalisa menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 15.0 untuk mendapatkan nilai min, sisihan piawai, kekerapan dan peratusan. Hasil kajian menunjukkan tahap pengetahuan mereka berkaitan ergonomik adalah sederhana dengan purata min dan sisihan piawai yang diperolehi masing-masing ialah 3.21 dan 0.95. Tahap kesedaran mereka berkaitan dengan faedah mengamalkan ergonomik pula adalah tinggi dengan purata min dan sisihan piawai yang diperolehi
masing-masing ialah 3.94 dan 0.90. Ini menunjukkan tahap pengetahuan dan kesedaran mereka adalah baik dan pihak pengurusan atasan perlu lebih memainkan peranan supaya tahap tersebut dapat ditingkatkan menjadi lebih baik lagi.
|