Summary: | Meminta dan memberi nasihat merupakan tindakan linguistik yang kompleks serta
memerlukan pengamatan terhadap norma-norma kesantunan budaya tertentu ketika
melaksanakannya lebih-lebih lagi dalam rancangan bual bicara radio berorentasikan
panggilan masuk (phone-in). Ketidakfahaman terhadap aspek ini akan mengakibatkan nasihat
sering kali tidak dialu-alukan, malah boleh menimbulkan konflik antara penutur dan
penerima semasa berkomunikasi. Justeru, analisis ini dilakukan untuk mengenal pasti pola
kesantunan berbahasa bual bicara dalam rancangan bertajuk Celik Mata Reset Minda Orang
yang Tenang di radio IKIMfm. Analisis ini mengaplikasi dua teori, iaitu Model Kesantunan
Brown dan Levinson (1987) serta Prinsip Kerjasama Grice (1975), yang kemudiannya
dikombinasikan untuk membentuk Model Pola Kombinasi Strategi dan Maksim (MPKSM)
dan digunakan untuk menganalisis 33 dialog daripada satu konteks perbualan dengan fokus
kepada struktur isi bual bicara. MPKSM membentuk empat pola kombinasi strategi, iaitu
Pola A, B, C dan D dengan pola teras yang terdiri daripada P2 dan P3. Pola teras P2
mengandungi strategi Kesantunan Positif dan strategi Kesantunan Negatif manakala P3 pula
mengandungi Strategi Tanpa Rekod dan kedua-duanya mempunyai padanan maksim Prinsip
Kerjasama (PK) tertentu. Ujaran meminta dan memberi nasihat oleh peserta perbualan dalam
struktur isi rancangan bual bicara dianalisis melalui aplikasi lima metode, iaitu muat turun
bahan, analisis teks, transkripsi, pelabelan serta pengekodan dan juga melalui kaedah
kuantitatif. Dapatan kajian menunjukkan peserta perbualan mengaplikasikan pola kombinasi
strategi dan maksim dengan meminimumkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) ketika
mengatur ujaran mereka untuk mencapai situasi bebas konflik dengan Pola B variasi pertama
mendominasi keseluruhan ujaran. Kajian turut memperlihatkan faktor kekangan masa siaran
serta kehadiran khalayak yang turut menumpang dengar (over hearer) menjadi antara faktor
yang signifikan dalam mempengaruhi pemilihan strategi kesantunan peserta perbualan.
|