Summary: | Kebanyakan kajian yang bersandarkan konsep Zone of Proximal Development (Vygotsky,
1978) memberi fokus kepada kolaborasi bersama pakar. Reka bentuk kajian kebanyakannya
menggunakan penyelidikan ujian pra dan pos. Malah, hasil kajian juga hanya menjelaskan
peningkatan potensi pelajar melalui keberkesanan interaksi dan kolaborasi yang dilalui
pelajar sepanjang melaksanakan tugasan yang diberi. Manakala proses mental iaitu proses
pengantaraan dan aktiviti pengaturan yang berlaku semasa pelajar berinteraksi dan
berkolaborasi dengan pakar tidak dipaparkan. Malah dalam senario di mana pelajar yang
mempelajari bahasa asing di Malaysia (khususnya bahasa Sepanyol), kebanyakan masa
mereka melaksanakan tugasan bertulis mengikut kesesuaian sendiri dan tanpa bantuan pakar
atau guru. Bagaimana pelajar sebegini menyelesaikan masalah semasa menstruktur ayat
bahasa Sepanyol tanpa kehadiran pakar dan apakah aktiviti pengaturan yang berlaku semasa
proses menstruktur dijalankan adalah perkara yang belum dikaji? Menggunakan kaedah
Think Aloud Protocol (TAP) ke atas 72 pelajar bahasa Sepanyol tahap asas (novis), bukan
sahaja berupaya memaparkan bentuk penggunaan pengantaraan, malah dapat menunjukkan
representasi proses mental aktiviti memperoleh leksikal dan sintaksis serta aktiviti pengaturan
semasa pelajar menstruktur ayat. Kajian ini berupaya menunjukkan bentuk aktiviti
pengaturan daripada bantuan Google Translate, rakan dan buku semasa pelajar menstruktur
ayat. Kajian juga memaparkan, tanpa kehadiran pakar atau guru, pelajar masih berupaya
mencapai tahap pengaturan kendiri / self-regulation melalui bantuan yang diperoleh daripada
Google Translate, rakan dan buku walaupun pengetahuan bahasa Sepanyol mereka di tahap
novis.
|