Summary: | Kajian ini bertujuan untuk menganalisis persekitaran dalam novel Beruk (2010) karya Azizi
Abdullah yang melingkungi kehidupan kanak-kanak dalam mempengaruhi tingkah laku
kanak-kanak. Masalah yang melibatkan kanak-kanak semakin berleluasa dan sering
terpampang di dada akhbar. Novel kanak-kanak merupakan salah satu medium dalam melihat
persekitaran yang membantu perkembangan psikologi kanak-kanak. Justeru, persekitaran
yang sihat dapat membentuk kanak-kanak yang seimbang dalam perkembangan rohani dan
jasmani. Oleh itu, aspek persekitaran perlu dititikberatkan dalam novel kanak-kanak supaya
memberi panduan bukan sahaja kepada penulis novel tetapi juga masyarakat. Dalam konteks
karya sastera, persekitaran yang melingkungi kehidupan kanak-kanak dimanifestasikan
melalui individu yang melingkungi kehidupan kanak-kanak. Analisis ini memperlihatkan
persekitaran yang melingkungi watak utama dalam novel kajian. Kajian ini mengaplikasikan
salah satu prinsip dalam Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979), iaitu sistem mikrosistem bagi
menganalisis teks. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan dan
analisis teks. Dapatan kajian menunjukkan persekitaran yang melingkungi kehidupan kanakkanak
mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Persekitaran yang sihat dapat melahirkan
kanak-kanak yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Situasi ini sekali gus
memanifestasikan kepentingan persekitaran yang sihat dalam kehidupan kanak-kanak. Ibu
bapa, rakan, guru dan jiran merupakan persekitaran penting dalam mempengaruhi watak
kanak-kanak. Kesimpulannya, persekitaran dalam novel kanak-kanak dengan menggunakan
mikrosistem dalam teori ekologi Bronfenbrenner (1979) dapat menjelaskan pengaruh
persekitaran terhadap kanak-kanak dalam novel Beruk.
|