Summary: | Perubahan sosiobudaya masyarakat mempengaruhi gaya hidup remaja, seterusnya
memberi kesan kepada adab dan tingkah laku remaja. Remaja menghadapi pelbagai
masalah yang melibatkan pelanggaran syariat Islam antaranya gejala sosial dan isu
akidah. Masalah ini boleh memberi kesan dalam membentuk tamadun sekiranya
pengamalan agama dari segi akidah, ibadah dan akhlak tidak difokuskan. Peranan
remaja sebagai agen untuk membentuk peradaban perlu dipertingkatkan kerana
mereka pemimpin masa depan. Oleh itu, makalah ini mengkaji pendekatan dakwah
targhīb dan tarhīb dan keberkesanannya untuk mengubah remaja yang beradab
dan memantapkan akidah remaja. Makalah ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu
menganalisis kandungan daripada sumber data kajian iaitu daripada al-Quran, buku
karangan sarjana Islam, jurnal, laporan, kertas seminar dan juga kajian dalam tesis.
Makalah ini memfokuskan kepada pendekatan dakwah targhīb dan tarhīb dalam
membina peradaban remaja dalam tiga elemen iaitu akidah, ibadah dan akhlak.
Akidah yang tidak kukuh memberi kesan kepada tingkah laku, akhlak, psikologi
dan kepercayaan remaja. Secara keseluruhannya, didapati tiga elemen asas untuk
menjadikan remaja yang mempunyai peradaban yang mantap ialah akidah, ibadah
dan akhlak. Pemantapan elemen ini penting kerana remaja merupakan agen perubahan
masyarakat, pemimpin masa depan yang akan menerajui peradaban dan agen membentuk peradaban. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa pendekatan targhīb
dan tarhīb konsep yang bersesuaian dengan jiwa remaja dalam membentuk satu
tamadun dan membina peradaban remaja yang mengamalkan ajaran Islam.
|