Summary: | Perkembangan bioteknologi moden di Malaysia menimbulkan pelbagai kontroversi. Terkini, Lembaga
Biokeselamatan Kebangsaan telah meluluskan 29 jenis produk kejuruteraan genetik (GE) ke dalam pasaran
Malaysia. Antara isu-isu etika dalam bioteknologi moden dan produknya ialah kesan jangka masa panjang,
kesan terhadap kesihatan dan alam sekitar, kesan sosio-ekonomi dan isu ‘bertindak seolah-olah Tuhan’
Malaysia seharusnya bergerak seiring dengan negara-negara barat untuk mewujudkan garis panduan
etika bioteknologi moden. Garis panduan etika memerlukan prinsip panduan. Objektif artikel ini ialah
untuk membincangkan aplikasi, status, isu-isu etika bioteknologi moden dan perspektif penyelidik dan
industri di Malaysia terhadap prinsip etika sekular utama iaitu autonomi, kebajikan, tidak memudaratkan
dan keadilan. Penyelidikan ini dijalankan secara perbincangan kumpulan fokus (FGD) menggunakan
instrumen semi berstruktur. Perbincangan yang diadakan mengambil masa sekitar 3 jam dan telah dirakam.
Rakaman perbincangan telah ditranskrip secara ‘verbatim’ sebelum dianalisis. Hasil kajian menunjukkan
bahawa semua panel amat bersetuju mengenai kepentingan dan kesesuaian keempat-empat prinsip etika
untuk diguna pakai sebagai prinsip bagi garis panduan etika bioteknologi moden di Malaysia. Para panel
telah mencadangkan penyusunan semula empat prinsip etika kepada tiga dan telah menambahbaik terma,
menghasilkan prinsip autonomi dan kepentingan awam; kebajikan dan tidak memudaratkan; dan keadilan
dan bukan diskriminasi. Panel juga telah menambahbaik huraian bagi definisi setiap prinsip yang ada.
|