Summary: | Kajian ini menganalisis seni bela diri Melayu yang dikenali sebagai Silat Cekak Pusaka Hanafi. Fokus diberikan
kepada struktur dan fungsi gerak buah silat yang menjadi kekuatan sebenar pencak persilatan Melayu. Kajian
kualitatif ini menggunakan kaedah kajian perpustakaan dan kajian lapangan yang melibatkan pemerhatian
ke atas demonstrasi 21 gerak buah silat tersebut serta menemu bual pewaris mutakhir yang masih aktif. Data
dianalisis menggunakan Teori Struktural Fungsional oleh Talcott Parson yang mengandungi empat konsep iaitu,
adaptasi, tujuan, pemeliharaan pola-pola dan integrasi. Teori ini diaplikasi bagi merungkai aspek struktur dan
fungsi gerak buah silat ini. Melalui konsep adaptasi didapati 21 gerak buah diadaptasikan daripada 4 pergerakan
solat iaitu, berdoa, qiam, rukuk dan takbiratul ihram bersama 5 bentuk pergerakan asas semula jadi manusia
seperti berjalan, menepis, menetak, mencekik dan memijak. Melalui konsep tujuan, didapati 21 gerak buah ini
bermatlamat mempertahankan diri dengan dimulakan dari bahagian teratas kepala hingga ke paras paha pesilat.
Menerusi konsep pemeliharaan pola-polanya, dilihat bentuk asli 21 gerak buah ini dapat dikekalkan sejak dari
52 tahun lalu diasaskan. Akhirnya menerusi konsep integrasi, dilihat wujud kesepaduan antara adaptasi, tujuan
dan pemeliharaan pola-pola dan integrasi 21 gerak buah ini. Dengan ini boleh difahami bahawa struktur dan
fungsi dalam 21 gerak buah ini membantu memelihara keaslian persilatan ini. Struktur dan fungsi ini juga
memperjelaskan ciptaan gerak buah adalah dipengaruhi oleh ciri-ciri budaya dan akal budi Melayu seperti
mencontohi pergerakan solat orang Melayu Islam serta beberapa gerakan asas dalam aktiviti seharian mereka
demi menjaga diri dan menyatakan kesyukuran ke atas nikmat pemberian nyawa dan segala anggota tubuh.
|