Summary: | Istilah dan stratifikasi aristokrat Melayu Selangor dibentuk pada November 1766. Namun begitu, ia kurang
diketengahkan oleh J. M. Gullick (1998), Khoo Kay Kim (1985), Barbara Watson Andaya (1974), Mohd.
Yusoff Hashim (2001) dan Abdullah Zakaria bin Ghazali (1999/2000) menyebabkan Abdur-Razzaq Lubis
(2018) kurang memahami hal tersebut. Oleh itu, artikel ini bertujuan memperkenalkan konsep istilah dan
stratifikasi aristokrat Melayu Selangor yang dibentuk oleh Sultan Salehuddin ibni Daeng Chelak selaku
pengasas kesultanan Selangor yang kurang ditonjolkan dalam disiplin sejarah supaya diketahui umum.
Tulisan ini akan menganalisis pembentukan kesultanan Selangor pada November 1766 terlebih dahulu.
Kemudian, akan mensintesis perkembangan sebelum tokoh-tokoh tersebut diiktiraf sebagai aristokrat Melayu
Selangor. Seterusnya, akan menilai seseorang itu sama ada layak diiktiraf sebagai raja serta orang besar
Selangor yang merupakan waris negeri Selangor sekaligus aristokrat Melayu Selangor atau sebaliknya
dan stratifikasi golongan ini pada era Sultan Salehuddin. Sumber primer antaranya Pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor (B/SUK) dan sumber sekunder digunakan bagi menjawab perkara dikemukakan.
Secara keseluruhan, istilah ini merangkumi raja dan orang besar Selangor sekaligus merupakan waris
negeri Selangor dibentuk secara sah setelah status entiti politik Selangor diiktiraf sebagai sebuah kerajaan
negeri berdaulat pada November 1766 yang diasaskan oleh Sultan Salehuddin. Secara lazimnya, stratifikasi
dalam komuniti aristokrat Melayu Selangor tidak diamalkan dalam konteks kesultanan Selangor. Namun
begitu, ia wujud dalam konteks ini sekiranya diteliti secara mendalam kerana mempunyai lapisan-lapisan
tertentu sama ada sebagai raja atau orang besar Selangor bagi membezakan seseorang itu dalam sesebuah
komuniti sosial.
|