Summary: | Globalisasi dalam industri perikanan telah memberi kesan kepada pendapatan negara, pendapatan nelayan
dan interaksi sosial di Malaysia khususnya di Wilayah ECER. Makalah ini mempunyai dua tujuan, pertama
membincangkan perkembangan industri perikanan di wilayah ECER; kedua, meneliti kesan perkembangan
industri perikanan dan kaitannya dengan titik peralihan nelayan laut dalam. Kajian menggabungkan
data primer dan data sekunder untuk mendapatkan hasil kajian. Kajian dilakukan menerusi pendekatan
kualitatif dengan menemu bual 17 orang informan yang terdiri daripada juragan laut dalam. Informan
dipilih menerusi pensampelan bertujuan dan pensampelan bola salji. Kajian dilakukan di wilayah ECER
(East Coast Economic Region) yang melibatkan empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang
dan Johor Timur. Hasil temu bual ditranskripsikan dalam bentuk data verbatim iaitu sedutan kata daripada
informan. Data verbatim dianalisis menggunakan analisis tematik yang melibatkan proses pengekodan,
pengkategorian dan akhirnya pengeluaran tema bagi menjawab soalan kajian.Analisis kajian mendapati
bahawa perkembangan industri perikanan mempengaruhi proses peralihan yang berlaku kepada nelayan
laut dalam. Peralihan tersebut menunjukkan bahawa nelayan laut dalam dapat menerima perubahan yang
berlaku dalam industri perikanan. Malah proses peralihan nelayan itu sendiri memberi kesan dari segi
sosial, ekonomi, fizikal dan polisi kepada industri perikanan. Penemuan penting adalah nelayan laut dalam
khususnya sebahagian juragan laut dalam telah menjadi pengusaha perikanan atau usahawan perikanan
yang dikenali sebagai juragan-pengusaha. Pengiktirafan juragan-pengusaha sebagai usahawan secara
tidak langsung memberi kesan kepada polisi strategik dalam industri perikanan berkaitan dengan jaminan
keselamatan makanan negara.
|