Summary: | Simile salah satu gaya bahasa figuratif berkaitan perumpamaan yang secara jelas mengungkapkan
perbandingan atau persamaan antara sesuatu. Melalui simile sesuatu perkara dapat difahami dan dihayati
terutama perbincangan berkaitan dengan ashrat al-sa’ah. Namun begitu, terdapat segelintir pembaca dan ahli
masyarakat yang berlebihan atau tersasar ketika menghuraikan perumpamaan sehingga menyebabkan tidak
menepati maksud sebenar perumpamaan tersebut. Oleh yang demikian perbincangan tentang gaya bahasa
simile terhadap hadis ashrat al-sa’ah sangat penting kerana hubungannya dengan perkara yang ghaibiyyat.
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji unsur simile dalam hadis ashrat al-sa’ah dan menganalisis keindahan
gaya bahasa simile dalam hadis-hadis tersebut. Penyelidikan ini menggunakan metode kualitatif dengan
menjadikan analisis kandungan sebagai reka bentuk kajian. Kandungan yang dipilih ialah hadis ashrat al-sa’ah
yang bertaraf sahih. Sebanyak enam hadis ashrat al-sa’ah telah dipilih sebagai data kajian ini. Hadis-hadis
yang dipilih akan diterjemahkan kepada bahasa Melayu menggunakan teori Semantik-Komunikatif. Hasil
kajian ini menunjukkan kehadiran simile dalam ungkapan bertujuan untuk meringkaskan ayat, mengelakkan
kekeliruan dan menegaskan maksud. Hasil kajian juga menunjukkan kata bandingan yang paling banyak
digunakan dalam hadis ashrat al-sa’ah ialah kaf diikuti oleh kama. Manakala gaya bahasa simile digunakan
untuk membandingkan dua jari, penyakit yang menimpa kambing, kepingan malam yang gelap-gelita, ombak
di lautan, tersasarnya anak panah daripada haiwan buruan, tembolok burung merpati. Kesemua gaya bahasa
simile ini menceminkan jawami’ al-kalim Rasulullah SAW melalui perbandingan yang sesuai dengan
masyarakat sekali gus memastikan hadis tersebut dapat difahami dan dihayati dalam kehidupan manusia.
|