Summary: | Oleh kerana penggunaan sumber sejarah dan penerapan kemahiran pemikiran sejarah adalah
disarankan dalam kurikulum sejarah melalui pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran
sejarah yang berkesan, maka objektif kajian ini ialah untuk menentukan sama ada terdapat
hubungan antara kompetensi guru sejarah dalam penggunaan sumber sejarah dan penerapan
kemahiran pemikiran sejarah. Kajian berbentuk tinjauan ini melibatkan seramai 92 orang guru
sejarah dari sekolah-sekolah menengah harian yang dipilih melalui teknik persampelan
bertujuan-rawak mudah. Instrumen kajian ini merupakan soal selidik yang telah diadaptasi dan
disahkan oleh pakar penilai serta mempunyai nilai kebolehpercayaan yang baik. Dapatan kajian
ini menunjukkan bahawa kompetensi penggunaan sumber-sumber sejarah mempunyai hubungan
linear yang amat tinggi secara signifikan (r=0.75) terhadap penerapan kemahiran pemikiran
sejarah. Tambahan pula, kompetensi pengetahuan (r=0.58) dan kemahiran (r=0.67) dalam
penggunaan sumber-sumber sejarah mempunyai hubungan linear yang tinggi secara signifikan
terhadap penerapan kemahiran pemikiran sejarah, manakala kompetensi sikap (r=0.74) dalam
penggunaan sumber-sumber sejarah mempunyai hubungan linear yang amat tinggi secara
signifikan terhadap penerapan kemahiran pemikiran sejarah. Sungguhpun begitu, hanya
kompetensi pengetahuan dan sikap penggunaan sumber-sumber sejarah merupakan
pembolehubah peramal yang menyumbang secara signifikan terhadap penerapan kemahiran
pemikiran sejarah dalam kajian ini. Implikasi kajian ini telah mencadangkan bahawa kompetensi
guru dalam penggunaan sumber-sumber sejarah perlu dipertingkatkan dengan lebih meluas
disebabkan terdapat perkaitan dengan penerapan kemahiran pemikiran sejarah dalam proses
pengajaran dan pembelajaran sejarah di dalam kelas. Kesimpulannya, guru-guru sejarah perlu
memainkan peranan penting dalam merancang strategi pengajaran yang mengingtegrasikan
elemen sumber sejarah dan kemahiran pemikiran sejarah bagi membentuk proses pembelajaran
yang bermakna di dalam kelas.
|