Summary: | Kebahagiaan merupakan salah satu topik utama yang mendominasi wacana falsafah etika.
Konsep kebahagiaan mula dibincangkan sejak munculnya perbincangan falsafah iaitu pada
zaman Yunani klasik seperti yang dibincangkan oleh Aristotle dalam buku Nicomachean Ethic,
sehingga dibincangkan dalam tamadun Islam oleh beberapa ahli falsafah Islam seperti Ibn
Miskawayh dalam Tahdhib al Akhlaq. Kedua tokoh tersebut mempunyai pendekatan yang
berbeza berkaitan konsep kebahagiaan. Justeru, kajian ini menganalisis makna dan cara
mencapai kebahagiaan yang telah dibincangkan menurut perspektif dua orang tokoh pemikir
tersebut berdasarkan hasil penulisan mereka. Penelitian ini mengetengahkan metode
perbandingan makna dan cara mencapai kebahagiaan. Hasil kajian mendapati wujud
persamaan dan perbezaan dalam konsep kebahagiaan di antara Aristotle dan Ibn Miskawayh
dalam beberapa aspek tertentu. Eudaimonia, merupakan konsep yang dibincangkan melalui
perbincangan menerusi pencarian Aristotle melalui persoalan yang menjadi tumpuan manusia
iaitu apakah yang menjadi tujuan akhir dan kebaikan yang tertinggi dalam kehidupan
manusia. Selain itu, kebahagiaan dapat dicapai melalui aspek pemilihan dan pengawalan
tingkah laku serta perbuatan dalam kesederhanaan serta hubungan nalaran yang telah
dibincangkan oleh Aristotle dan Ibnu Miskawayh melalui kaitan dan perbezaannya.
|