Summary: | Tadabbur al-Quran adalah proses interaksi terhadap al-Quran yang bersifat universal. Terdapat pelbagai
kelebihan dan kebaikan sekiranya tadabbur disertakan ketika membaca al-Quran lebih-lebih lagi kepada
golongan penghafal al-Quran. Namun, realiti menemukan bahawa pelajar tahfiz sendiri tidak menunjukkan
usaha dalam mencari makna ayat, sebaliknya hanya menumpukan terhadap hafazan. Situasi ini menunjukkan
bahawa proses tadabbur tidak berlaku sedangkan tadabbur al-Quran merupakan syarat utama untuk mencapai
objektif al-Quran diturunkan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti keutamaan amalan tadabbur alQuran dalam kalangan pelajar tahfiz. Kajian ini adalah kajian kualitatif berbentuk analisis dokumen secara
deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang signifikan antara amalan
tadabbur dengan hafazan al-Quran khususnya dalam bab kefahaman makna ayat. Secara keseluruhannya,
tadabbur al-Quran mampu memberikan impak yang positif kepada pelajar tahfiz daripada sudut pemahaman,
penghayatan serta pengamalan terhadap ayat-ayat al-Quran. Justeru, kajian ini perlu ditinjau dengan lebih
dalam supaya dapat melihat sejauh mana tadabbur al-Quran menjadi keutamaan terhadap pelajar tahfiz di
Malaysia.
|