Summary: | Dalam kajian ini, filem kanji/minyak kayu manis telah dihasilkan menggunakan kaedah pengacauan larutan dengan
kandungan minyak kayu manis (MKM) berbeza untuk mengkaji kesan MKM terhadap sifat antimikrob filem kanji.
Sifat kelutsinaran filem didapati berkurang apabila peratus kandungan MKM meningkat yang telah menghalang
penembusan cahaya. Sementara itu, analisis ATR-FTIR mendapati bahawa tiada penyesaran puncak atau pembentukan
puncak baharu yang menunjukkan bahawa MKM dan filem kanji tidak terikat secara kimia. Kajian aktiviti
antimikrob filem ini terhadap Bacillus cereus dan Aspergillus niger telah mendapati berlakunya peningkatan
kecekapan aktiviti antimikrob bagi penambahan minyak kayu manis (MKM) dengan peningkatan diameter zon
perencatan. Didapati berlaku perencatan pada kepekatan minimum MKM ditingkatkan bermula 16% dalam filem kanji
mencatatkan corak pertumbuhan dalam zon rencatan dengan diameter 24-44.2 mm dengan peningkatan 28.23-37.88%
dan 34.12-52%, masing-masing bagi zon perencatan terhadap B. cereus dan A. niger berbanding tiada sebarang zon
perencatan untuk filem kanji tanpa penambahan MKM. Pemerhatian morfologi menunjukkan pembentukan liang dan
pemisahan fasa yang heterogen antara MKM dan kanji. Tegangan maksimum filem pula menunjukkan pengurangan
kekuatan tegangan apabila kepekatan MKM bertambah walaupun tidak ketara pada peningkatan MKM sehingga
24%. Sebaliknya, terikan pada takat putus filem didapati meningkat sebanyak 102-252% selari dengan penambahan
MKM yang bertindak sebagai agen pemplastikan. Keseluruhannya, filem kanji/MKM telah berjaya disediakan dan
pencirian sifat fizikal dan aktiviti antimikrob bagi filem ini menunjukkan potensinya dalam penggunaan pembungkusan
makanan.
|