Summary: | Kemahiran penulisan hujah dalam esei argumentatif memerlukan proses kognisi murid yang tinggi. Maka, kajian
ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan teori konstruktivisme model Lima Fasa Needham terhadap
kemahiran penghujahan murid sekolah menengah atas. Reka bentuk kuasi eksperimen digunakan untuk melihat
perbandingan kemahiran menulis hujah dalam esei jenis argumentatif antara kumpulan eksperimen dan kumpulan
kawalan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Sibu, Sarawak. Kemahiran menulis hujah bagi kedua-dua
kumpulan ini diuji berdasarkan ujian pra dan ujian pasca. Sampel kajian ini melibatkan 20 orang murid bagi
kumpulan eksperimen dan 20 orang murid bagi kumpulan kawalan. Dapatan kajian dianalisis menggunakan
aplikasi Statistical Package for Social Science (SPSS) Versi 20. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat
perbezaan yang signifikan dalam pencapaian murid bagi kumpulan eksperimen setelah pendekatan teori
konstruktivisme Model Lima Fasa Needham diperkenalkan dalam penulisan esei argumentatif dengan t(38) =
-3.240, p<.05. Min skor pencapaian murid dalam penulisan hujah bagi kumpulan eksperimen telah menunjukkan
peningkatan, iaitu min ujian pra ialah 11.35 dan min ujian pasca ialah 14.40. Dapatan kajian membuktikan bahawa
pendekatan teori konstruktivisme Model Lima Fasa Needham berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid
dalam penulisan hujah. Implikasinya, guru Bahasa Melayu digalakkan menggunakan model Lima Fasa Needham
dalam pengajaran mereka.
|