Summary: | Satira merupakan suatu reaksi komunikatif yang dihasilkan dan digunakan oleh sesiapa yang
mempunyai keupayaan retorik untuk mengkomunikasikan saranan, sindiran atau pandangan peribadi
atau kolektif. Masyarakat Melayu di Nusantara Melayu memiliki kecenderungan bersatira sebagai
sebahagian dari akal budi Melayu yang menonjolkan kehebatan warisan bahasa untuk tujuan
menegur, mendidik dan memperbaiki akhlak sejajar dengan ajaran agama Islam. Satira dinikmati
secara mapan pada hari ini sebagai representasi kehidupan seharian yang dihasilkan untuk tujuan
hiburan dan seloka persendaan. Komunikasi bersatira dilihat semakin popular dan digunapakai oleh
sebilangan masyarakat era digital yang giat menyuarakan pendapat serta kritikan mereka
terutamanya melibatkan persoalan logik, agama, moralitas dan integrit pemimpin masyarakat dan
figura popular. Dalam erti kata lain, aspek sosiobudaya dan politik dilihat mendominasi wacana
bersatira yang berlangsung di ruang publik termasuklah menerusi budaya popular seperti filem.
Makalah ini umumnya bertujuan mengupas dan membahas menerusi sebuah analisis dekonstruktif
aliran Derrida untuk menemukan makna-makna yang tersulam dalam wacana bersatira filem Lelaki
Harapan Dunia (LHD, 2014) arahan Liew Seng Tat. Melalui kaedah analisis dekonstruktif, hasil kajian
menunjukkan terdapat satira yang mewacanakan aspek sosiobudaya dan politik dalam filem ini.
Persendaan satira sosiobudaya menumpukan implikasi dan subteks wacana kepada permasalahan
penggunaan bahasa Malaysia dan ketaksuban masyarakat terhadap alam metafizik, sedangkan
persendaan satira politik menjurus kepada amalan sogokan oleh ahli politik korup. Rumusan
pencerahan yang ditemukan dari analisis dapatan kajian mencadangkan bahawa pengarah filem ini
telah membuat representasi yang klinikal dan kritis mengenai akal budi Melayu dengan strategik dan
menarik menerusi satira sosiobudaya dan politik.
|