Summary: | Kemahiran insaniah (soft skills) merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar supaya mampu
berdaya saing dalam mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Institusi pengajian tinggi atau
universiti memainkan peranan yang penting dalam membantu dan membentuk sahsiah pelajar agar
mereka mampu menguasai set kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan. Tidak dinafikan juga
penguasaan kemahiran insaniah graduan berkait dengan isu kebolehpasaran graduan yang sering
dibangkitkan. Dengan mengambil pandangan dari perspektif komunikasi, kajian ini dijalankan untuk
memahami cara graduan bertindak balas terhadap isu penguasaan kemahiran insaniah berpandukan
teori STOPS. Sebanyak 415 responden yang terdiri daripada graduan prasiswazah UKM tahun 2018
telah memberikan maklum balas terhadap survei yang diedarkan. Data dianalisis dengan
menggunakan Model Persamaan Struktural (SEM) dibantu perisian IBM-SPSS versi 21 dan IBM-SPSSAMOS. Lima hipotesis yang dicadangkan telah disokong oleh dapatan kajian. Hasil kajian mendapati
model pengukuran STOPS mencapai indeks kesepadanan yang baik berdasarkan nilai indeks yang
dicadangkan. Nilai koefisien penentuan R2 bagi pemboleh ubah perseptual (antecedent) iaitu
pengenalpastian masalah, pengenalpastian kekangan, dan pengenalpastian penglibatan terhadap
motivasi situasi dalam penyelesaian masalah adalah .52 yang mana ia menunjukkan hubungan
sederhana kuat antara pemboleh ubah. Manakala nilai R2 bagi pemboleh ubah kriteria rujukan dan
motivasi terhadap tingkah laku komunikasi (CAPS) adalah .61 yang juga menunjukkan hubungan
sederhana kuat. Berdasarkan hasil analisis, institusi pengajian tinggi harus memberi pendedahan yang
lebih komprehensif terhadap isu penguasaan kemahiran insaniah supaya meningkatkan kebolehan
pelajar dalam pengenalpastian masalah, kekangan dan penglibatan yang mampu menyumbang
kepada peningkatan motivasi dalam penyelesaian masalah.
|