Summary: | Keterlihatan laman sesawang semakin menjadi elemen penting untuk mempromosi institusi bagi
universiti terbaik dunia. Laman sesawang rasmi universiti bertindak sebagai medium utama untuk
mempromosi reputasi dan imej serta menjadi platform publisiti untuk aktiviti dan pencapaian universiti.
Laman sesawang memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan keterlihatan institusi di
peringkat lokal dan juga global, selaras dengan hasrat nasional untuk mengantarabangsakan pendidikan
tinggi, contohnya pembangunan hab pendidikan tinggi serantau dan global. Komunikasi laman sesawang
memainkan peranan yang penting sebagai tapak perhubungan pertama serta sumber maklumat utama
bagi khalayak. Kajian ini meneliti penggunaan laman sesawang secara strategik oleh tiga universiti
penyelidikan di Malaysia. Kajian ini juga mengkaji strategi komunikasi laman sesawang bagi setiap
universiti menerusi analisis kandungan kualitatif dan pemerhatian secara dalam talian terhadap laman
sesawang universiti berkaitan. Ini meliputi analisis secara mendalam terhadap kandungan laman
sesawang, reka bentuk dan elemen-elemen lain yang menyumbang kepada keterlihatan universiti melalui
komunikasi laman sesawang ketiga-tiga institusi ini. Dapatan kajian mendapati kandungan (content) dan
kebolehgunaan (usability) dalam reka bentuk laman sesawang serta komunikasi dialogic (dialogic
communication) telah digunakan sebagai strategi keterlihatan laman sesawang. Penekanan komunikasi
laman sesawang terhadap ketiga-tiga elemen ini dilihat sebagai strategi utama bagi ketiga-tiga institusi
yang dikaji di mana laman sesawang setiap universiti memperlihatkan penggunaan komunikasi yang
strategik.
|