Summary: | Amalan Terbaik Pengajaran (ATP) merupakan amalan pengajaran guru yang
memberi penekanan terhadap pengajaran berpusatkan murid. Kajian ini penting dijalankan
kerana selaras dengan kehendak Dokumen Standard Kurikulum Sekolah Rendah KPM.
Namun, kajian terhadap ATP guru, khususnya guru Bahasa Melayu kurang dilaksanakan.
Tujuan kajian ini dijalankan adalah bagi mengkaji hubungan antara ATP guru Bahasa
Melayu dengan lokasi sekolah dan pengalaman guru. Bagi memperoleh data, kajian ini
menggunakan kaedah tinjauan yang melibatkan 160 guru Bahasa Melayu yang dipilih
melalui teknik persampelan rawak berstrata berkadar. Soal selidik digunakan bagi mengkaji
hubungan antara lokasi sekolah dan pengalaman guru dengan ATP guru Bahasa Melayu.
Hasil kajian mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah
dengan keempat-empat prinsip ATP kecuali ATP berpusatkan murid berasaskan Pendekatan
Autentik pada aras signifikan 0.01. Dapatan juga mendapati tidak terdapat hubungan yang
signifikan antara pengalaman mengajar guru dengan keempat-empat ATP berpusatkan
murid kecuali Pendekatan Holistik pada aras signifikan 0.01.Kajian ini menunjukkan
bahawa pelaksanaan ATP dalam kalangan guru Bahasa Melayu sekolah rendah tidak
berhubungan secara langsung dengan lokasi sekolah dan pengalaman mengajar guru,
kecuali dua jenis pendekatan sahaja, iaitu Pendekatan Autentik dan Pendekatan Holistik.
Kajian ini menunjukkan bahawa ATP tidak dipengaruhi oleh lokasi dan pengalaman guru.
|