Summary: | Dalam era modenisasi ini, gangguan seksual bukan lagi suatu perlakuan yang boleh dianggap remeh dan patut
dipandang serius oleh kerana ia bersifat sensitif, mengaibkan dan berpotensi untuk menganggu psikologi dan emosi
mangsa berkenaan. Tanpa mengira tempat dan masa, seringkali kita ketahui bahawa wanita lebih cenderung dijadikan
mangsa gangguan seksual terutamanya di tempat kerja memandangkan golongan lelaki tampak lebih dominan di
dalam kebanyakan organisasi. Apabila perlakuan tersebut dilaporkan kepada pihak atasan, tiada sebarang tindakan
lanjut yang diambil kerana isu ini dianggap tidak signifikan dan tidak membawa apa-apa pulangan yang lumayan
kepada syarikat, malah sekadar menggugat reputasi syarikat tersebut. Hal ini cukup membimbangkan terutamanya
apabila menyedari bahawa tiada sebarang undang-undang khusus yang mengawal perbuatan gangguan seksual secara
ketat bagi tujuan melindungi hak dan kepentingan mangsa berkenaan. Pendek kata, masih terdapat lompong yang
ketara dari sudut perundangan gangguan seksual disebabkan oleh ketiadaan undang-undang khusus yang mengiktiraf
pemberian ganti rugi kepada mangsa. Maka, penulisan artikel ini adalah bertujuan untuk menganalisis kesesuaian
pengaplikasian undang-undang tort dari aspek remedi yang boleh dipohon oleh mangsa. Penulisan ini turut merujuk
kepada undang- undang tort gangguan seksual di negara-negara luar seperti Hong Kong dan Singapura sebagai
perbandingan bagi melihat keberkesanannya dalam melindungi mangsa-mangsa gangguan seksual sebagai satu
perbandingan.. Turut dicadangkan reformasi undang-undang dalam tuntutan gangguan seksual dari segi aspek
penggubalan sebuah akta khusus bagi kesalahan gangguan seksual di Malaysia. Penulisan ini mendapati bahawa
undang-undang tort sememangnya sesuai untuk diaplikasikan dalam tuntutan saman gangguan seksual di Malaysia
agar hak mangsa terhadap ganti rugi dapat dipenuhi.
|